BUKIT PUCHONG, 31 Mac 2019 – Program Pemindahan Teknologi, Pengetahuan dan Anak Angkat Pangsapuri 560 Bandar Bukit Puchong 2019 usaha bersama Institut Sultan Iskandar (ISI), Fakulti Alam Bina dan Ukur (FABU), serta Pusat Kursus Umum dan KoKurikulum (CCSL), yang berlangsung 28 hingga 31 Mac 2019 telah berjaya menjadi pencetus komuniti berdaya; sekali gus membantu pencapaian matlamat Program Rejuvenasi Pangsapuri Bukit Puchong wawasan dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ). 

Kemeriahan program pada kali ini yang berlangsung sempena cuti sekolah selama 4 hari 3 malam bermula Khamis lalu membuktikan bahawa pihak komuniti ini amat mengalu-alukan kehadiran 60 orang mahasiswa UTM sebagai anak angkat kepada 21 keluarga. Program Anak Angkat yang sokong oleh Pusat Khidmat DUN Seri Serdang ini berjaya memanafaatkan 560 isi rumah dari aktiviti khidmat komuniti yang merupakan sebahagian daripada usaha transformasi masyarakat berpendapatan rendah di sana. 

Prof. Madya Dr. Gurupiah Mursib, Ketua Projek Rejuvenasi Pangsapuri 560 Bandar Bukit Puchong dari Institut Sultan Iskandar Kuala Lumpur yang ditemui semasa Majlis Penutup dan Penyampaian Hadiah berkata, Program Anak Angkat yang kedua diadakan ini, terbukti sebagai satu kaedah yang sangat berkesan untuk memperkasa segenap lapisan komuniti menerusi pelbagai pengisian yang dipindahkan oleh pelajar-pelajar UTM sendiri. Kini komuniti Bukit Puchong dapat memanfaatkan segala ilmu pengetahuan dan kemahiran yang telah dikongsikan. Beliau berharap agar komuniti Bukit Puchong ini terus bersatu padu dan berdaya maju dalam memastikan kejayaan dan kelangsungan program ini demi membina kejiranan yang lebih baik.

Sebanyak 28 aktiviti dan 11 bengkel dijalankan selama 4 hari berkenaan melibatkan setiap tujuh blok kejiranan. Kesemua aktiviti dan bengkel tersebut dikawal selia oleh Ts. Dr. Syamsul Hendra Mahmud, selaku Pensyarah FABU dan Penyelia Kursus bagi pelajar UTM yang terlibat. Beliau berkata, faedah program ini adalah bersifat dua hala, yang mana bukan sahaja penduduk setempat memperoleh ilmu pengetahuan, malahan para pelajar dapat meningkatkan kemahiran generik mereka selain mendapat peluang untuk melibatkan diri secara aktif sebagai ahli jawatankuasa program. Persediaan program ini memakan masa hampir dua bulan bagi memastikan aktiviti-aktiviti yang dirancangkan adalah meliputi 8 teras utama seperti dinyatakan di dalam Dasar Komuniti Negara 2019 yang dilancarkan oleh Y.Bhg. Tun Dr. Mahathir Mohamad, Perdana Menteri Malaysia pada 17 Februari lalu. Teras utama yang dimaksudkan ialah infrastruktur dan penyelenggaraan; kebersihan, alam sekitar dan kesihatan; keselamatan; pendidikan dan kemahiran; keprihatinan terhadap kanak-kanak, warga emas, Orang Kurang Upaya (OKU), wanita, ibu tunggal dan daif; keusahawanan dan perniagaan sosial; perkhidmatan sosial; serta sukan dan rekreasi.

Program Rejuvenasi Pangsapuri 560 Bandar Bukit Puchong mendapat pengiktirafan tarafan impak lima bintang oleh Pusat Jaringan Komuniti dan Industri (CCIN) UTM; serta menjadi rujukan pembangunan perumahan kos rendah lain di MPSJ;  malah menjadi rujukan kepada Program Bangsa Johor Bahagia di bawah naungan DYMM Raja Zarith Sofiah, Permaisuri Johor.

SKUDAI: Lebih 600 penggemar aktiviti sukan berbasikal lasak dari dalam dan luar negara menyertai ISI-UTM MTB Jamboree 2019 di kampus Universiti Teknologi Malaysia Skudai pada Sabtu, 19 Januari 2019 bertempat di Laman Menanti, UTM. Acara dibahagikan kepada 2 displin iaitu Jamboree bagi kayuhan sejauh +30km dan Fun Ride bagi kayuhan santai sejauh 15km.

Program berbasikal ini adalah acara yang pertama kali dianjurkan Institut Sultan Iskandar (ISI) bersama Orang Johor Cycle Team (OJCT) dan disokong oleh Kementerian Pelancongan,Seni dan Budaya Malaysia Negeri Johor (MOTAC). Menurut Pengarah Eksekutif ISI, Prof Dr Syed Ahmad Iskandar Syed Ariffin, penganjuran acara ini merupakan salah satu inisatif ISI bagi menyahut saranan kerajaan dalam menggalakkan lebih ramai rakyat mengamalkan gaya hidup sihat disamping memperkenalkan ISI kepada masyarakat dan dalam masa yang sama dapat memperkenalkan keindahan kampus UTM kepada orang luar.  Turut serta dalam program tersebut ialah Timbalan Naib Canselor Pembangunan, Prof Dr Azlan Abdul Rahman yang dijemput untuk merasmikan program tersebut.

JERLUN, 6 Mac 2019 - Pemeriksaan Akhir "CMGD" atau Sijil Siap Membaiki Kecacatan bagi Kolej Komuniti Cawangan Jerlun telah selamat diadakan bersama pihak perunding, kontraktor dan pihak klien di Bilik Mesyuarat Kolej Komuniti Cawangan Jerlun. Pemeriksaan ini bertujuan bagi memeriksa mana-mana kerja kecacatan yang timbul setelah berakhir tempoh DLP sebelum sijil CMGD dapat dikeluarkan kepada pihak kontraktor. Terdahulu Kolej Komuniti Cawangan ini telah disiapkan dan dirasmikan pada 10 April 2018. Syabas kepada pihak kontraktor dan perunding yang memberikan kerjasama yang baik sepanjang tempoh pengubahsuaian.

 

 

PUCHONG INDAH, 17 Februari 2019 – Usaha sama Institut Sultan Iskandar (ISI), UTM dengan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) dalam Projek Rejuvinasi Pangsapuri Kos Rendah Bandar Bukit Puchong (PBBP) yang dilancarkan pada 30 Jun tahun lalu telah membuahkan hasil apabila Komuniti PBBP berjaya mempamerkan impak rejuvinasi yang di luar jangkaan. Program ini telah mendapat perhatian sebagai satu contoh model pemberdayaan komuniti perumahan kos rendah yang berjaya, demikian reaksi dari pengunjung pameran Rejuvenasi sempena Pelancaran Dasar Komuniti Negara 2019 yang telah disempurnakan oleh YAB Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad di Taman Puchong Indah pada 17 Februari 2019 yang lalu. Antara dif-dif yang hadir dalam majlis tersebut adalah Menteri Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, YB Zuraida Kamaruddin, dan Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali.

Antara yang dipamerkan adalah poster impak sebelum dan selepas rejuvenasi, produk perabut kayu palet, hasil kebun komuniti, serta komunitinya yang bersemangat tinggi. Dato' Sri Haji Mohammad Mentek, Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, diiringi peneraju utama projek rejuvenasi MPSJ, Yang Dipertua  TPr Noraini Roslan dalam kunjungan rasmi ke booth pameran berpuas hati dengan prestasi rejuvinasi. YB KSU menyatakan rasa bangga beliau apabila melihat hasil rejuvenasi serta kreativiti perabut kayu palet yang telah dihasilkan oleh komuniti BP dan mengingatkan seluruh warga komuniti agar turut menggabungkan aspek kerohanian selain daripada aspek sosial dan fizikal yang diterapkan di  dalam aktiviti-aktiviti yang telah direncanakan. YDP Noraini menyatakan inilah satu aspek mampan Program Rejuvinasi yang kini diletakkan sebagai projek rujukan berimpak tinggi untuk diterapkan di perumahan lain oleh MPSJ. Sementara itu ADUN Sri Serdang, YB Dr Siti Mariah Mahmud yang turut membuat kunjungan khas menyatakan kesediaan untuk terus menyokong program ini dengan dana tambahan bagi program khidmat komuniti seterusnya. Beliau telah meletakkan kepercayaan dan harapan yang tinggi kepada seluruh warga pangsapuri  Bandar Bukit Puchong agar terus bersatu dan berdaya maju dalam memastikan kejayaan dan kelangsungan program ini. Pameran juga telah membuka mata kepada beberapa pihak berkuasa tempatan dan Jawatankuasa Penduduk Zon untuk melaksanakan projek sebegini di kawasan masing-masing.

 

 

SKUDAI, 15 Februari 2019 - Bengkel intensif bagi pelaksanaan Coffee Table Book MIT-UTM Sustainable Cities Fellowship  Programme (MSCP) telah diadakan pada 14 dan 15 Februari 2019 di Bilik Mesyuarat 1, Fakulti Alam Bina & Ukur, UTM dan diketuai oleh Prof. Madya Dr Gurubiah Mursib sebagai Ketua Editor manakala Prof Mohd Hamdan Hj Ahmad bersama Prof Dr Syed Ahmad Iskandar Syed Ariffin bertindak sebagai penasihat. Bengkel selama 2 hari ini bertujuan menyediakan dan menderaf data-data program MSCP yang bermula pada tahun 2014 untuk dimuatkan dalam buku tersebut. 

 

Follow Us

Stewarding Excellence in Innovative Sustainable Built Environment