+607-558 4286 isijb@utm.my

KARNIVAL MINI PASAR BEBAS PLASTIK SEKALI GUNA
Pasar Awam Taman Universiti, Skudai – Kejayaan Masyarakat Bergerak Ke Arah Kemampanan

Skudai, 14 Januari 2024 – Institut Sultan Iskandar, Universiti Teknologi Malaysia telah mengadakan Karnival Mini Pasar Bebas Plastik Sekali Guna di Pasar Awam Taman Universiti. Karnival mini ini merupakan inisiatif kelestarian yang dianjurkan oleh Institut Sultan Iskandar, Universiti Teknologi Malaysia, dengan sokongan kukuh daripada Yayasan Hasanah serta Majlis Bandaraya Iskandar Puteri.

Karnival ini bertujuan untuk menggalakkan amalan kehidupan yang mampan di kalangan penduduk Taman Universiti dan masyarakat sekitarnya dengan mengurangkan penggunaan plastik sekali guna ketika membeli-belah di pasar awam ini.

Melalui karnival mini ini, masyarakat sekitar Pasar Awam Taman Universiti didedahkan dengan kepentingan menjaga alam sekitar dan mengamalkan gaya hidup yang mampan ketika berbelanja di pasar awam. Para peniaga telah dibekalkan dengan bekas pembungkusan guna semula  manakala pengunjung menerima beg guna semula secara percuma bagi tujuan memberi galakan mengurangkan penggunaan plastik sekali guna ketika membeli bahan basah pada hari tersebut.

Suasana ceria dan meriah karnival mini ini bermula dari jam 7:30 pagi hingga 11.30 pagi dengan pelbagai aktiviti menarik seperti pertandingan pembungkusan kreatif menggunakan daun pisang dan bahan basah seperti ayam, ikan dan sayur. Turut disediakan permainan sisih bahan serta permainan dam ular dan tangga kemampanan gergasi turut menjadi tumpuan pengunjung yang bermain sambil belajar tentang amalan kemampanan. Pengunjung juga telah diingatkan supaya membawa bekas atau cawan sendiri bagi mendapatkan minuman dan kudapan percuma yang disediakan di reruai karnival selain aiskrim percuma untuk pengunjung karnival.

Acara ini turut mendapat sokongan daripada enumerator dan sukarelawan dari Universiti Teknologi Malaysia, UniKL MITEC dan Kolej Universiti Islam Johor Sultan Ibrahim yang telah berganding bahu untuk memastikan segala urusan berjalan dengan lancar. Kejayaan acara ini juga tidak akan menjadi kenyataan tanpa kerjasama daripada peniaga-peniaga di pasar awam Taman Universiti.

Kami mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang telah menyertai dan menyokong Karnival Mini Pasar Bebas Plastik Sekali Guna ini. Bersama-sama, kita bergerak ke arah kemampanan yang lebih baik!