Skudai, Johor – Syarikat konsesi penyenggaraaan jalan, Belati Wangsa (M) Sdn Bhd (BWSB) dan Institut Sultan Iskandar, Universiti Teknologi Malaysia (ISI UTM) memetrai memorandum persefahaman (MoU) kearah kemampanan serta kelestarian industri penyenggaraan jalan, hari ini. MoU tersebut merangkumi tiga aspek utama, iaitu Inovatif Bahan Kearah Teknologi Hijau, Sistem Pemantauan Masa Nyata (Real Time) dan Teknologi Kecerdasan Buatan (Ai), serta Perundingan Pembangunan Professional Pengurus Pengurusan Fasiliti Diperakui (CFMM). Kerjasama selama tiga tahun tersebut bertujuan memanfaatkan sinergi antara kepakaran industri dan kecemerlangan akademik dengan memupuk inovasi, perundingan, penyelidikan, khususnya dalam bidang penyenggaraan jalan selain membangun modal insan melalui program latihan serta peluang latihan industri kepada pelajar universiti berkenaan.
Majlis menandatangani MoU itu berlangsung ringkas di Bangunan Canseleri Sultan Ibrahim, UTM dan turut dihadiri Wan Jazmi Che Ismail Pengarah BWSB, Mohamad Akmal Johari Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Johawaki, Mohamad Solan Derani Ketua Pegawai Eksekutif BWSB, Profesor Madya Sr Dr. Abdullah Hisam Omar, Pengarah Eksekutif ISI, Profesor Sr Dr. Kherun Nita Ali, Dekan Fakulti Alam Bina & Ukur UTM, Professor Madya Dr. Suhaimi Bakar Dekan Fakulti Kejuruteraan Awam UTM disaksikan Datuk Ir. Hamzah bin Hassan Pengerusi Kumpulan Johawaki, Abdul Hadi Abdul Rahim Ketua Pegawai Pemasaran Kumpulan Johawaki dan Timbalan Pengarah 1 ISI Ar. IDr. Ts. Samsiah Binti Abdullah.
Ketua Pegawai Eksekutif BWSB, Mohamad Solan Derani berkata, “Kerjasama ini menandakan komitmen dan inisiatif syarikat memperluaskan hubungan dua hala dengan pelbagai sektor dan agensi dalam melaksanakan inovasi, kajian/penyelidikan, latihan serta pembangunan untuk meningkatkan kualiti dan tahap perkhidmatan jalan raya di Malaysia selaras dengan visi syarikat yang sentiasa komited memberikan perkhidmatan penyelenggaraan berkualiti melalui peningkatan tenaga mahir dan teknologi baharu setanding dengan konsesi jalan raya seumpamanya di peringkat antarabangsa”.
Profesor Madya Sr Dr. Abdullah Hisam Omar, Pengarah Eksekutif ISI UTM amat berbesar hati dan berharap kolaborasi ini dapat memberi manfaat kepada kedua-dua pihak. “UTM sebagai sebuah universiti penyelidikan utama di Malaysia yang berteraskan menginovasi penyelesaian sentiasa terbuka untuk menjalin kerjasama bersama pihak industri dan kita menyediakan fasiliti untuk membuat penyelidikan. Kerjasama dengan pihak industri sangat penting bagi melahirkan pelajar yang cemerlang dalam bidang teknikal disamping merupakan satu peluang yang signifikan bagi kedua-kedua pihak meneroka inovasi terkini yang boleh memberi manfaat kepada masyarakat sejagat.” menurut beliau. “Kami juga berharap melalui hubungan kerjasama ini, akan lebih banyak lagi aktiviti-aktiviti penyelidikan dan hasilnya dapat diterjemahkan kepada penerbitan bersama, patent bersama dan pengkomersialan produk bersama antara kedua-dua organisasi”, tambahnya lagi.