+607-558 4286 isijb@utm.my
Skudai, 27 Jun 2024 – Sebanyak 3 sesi kursus latihan AutoCAD telah diadakan di Studio Komputer Senibina, Aras 1, Blok B11, Fakulti Alam Bina & Ukur, Universiti Teknologi Malaysia yang dihadiri 87 orang para penjawat awam Negeri Johor. Kursus AutoCAD ini merupakan sebahagian Program Building Information Modelling (BIM), AutoCAD Essentials dan AutoCAD Advanced yang dianjurkan pihak Akademi Perkhidmatan Tadbir Negeri Johor dan diuruskan oleh Institut Sultan Iskandar, Universiti Teknologi Malaysia yang memiliki Pusat Latihan Autodesk UTM.
Kursus ini dibahagikan kepada dua (2) kategori iaitu Kursus AutoCAD Essentials pada dua sesi iaitu sesi pertama, 11 hingga 13 Jun 2024 dan sesi kedua pada 24 hingga 26 Jun 2024, manakala Kursus AutoCAD Advanced (3D Modelling) telah diadakan pada 19 dan 20 Jun 2024. Pemilihan kategori kursus adalah berdasarkan tahap kemahiran para penjawat awam dalam penggunaan AutoCAD dalam bidang pekerjaan masing-masing.
Di akhir setiap kursus para peserta telah menerima sijil pengiktirafan Autodesk iaitu “ Certification of Completion”. Pensijilan ini diharapkan dapat memberi nilai tambah dalam kemahiran teknikal dan meningkatkan profesionalisme para penjawat awam Negeri Johor. Kesemua peserta amat bersemangat dalam menjalani latihan dan menamatkan sesi latihan masing-masing dengan jayanya.
Program latihan AutoCAD dalam program ini menggunakan khidmat jurulatih profesional yang diiktiraf Autodesk iaitu Puan Suryati Abd Samad, yang telah berpengalaman mengajar lebih 20 tahun dalam AutoCAD dan Revit. Beliau juga adalah felo Institut Sultan Iskandar dan sering terlibat dalam program latihan Autodesk di Pusat Latihan Autodesk UTM.