Program Upskilling (peningkatan kemahiran) dan Reskilling (latihan semula), Program Building Information Modelling (BIM), AutoCAD Essentials, dan AutoCAD Advanced bagi Penjawat Awam Negeri Johor merupakan program anjuran Akademi Perkhidmatan Tadbir Negeri Johor dan dilaksanakan oleh Institut Sultan Iskandar, Universiti Teknologi Malaysia.
Program telah dimulakan dengan Kursus Pengenalan Building Information Modelling (BIM) yang dilaksanakan dalam dua sesi kumpulan di Dewan Auditorium, Institut Pembangunan Bioproduk UTM Johor Bahru pada 5 dan 6 Jun 2024. Kursus ini bertujuan memberikan pendedahan dan pengenalan asas dalam teknologi pemodelan maklumat bangunan atau dikenali sebagai Building Information Modelling (BIM).
Kursus pengenalan ini telah disampaikan oleh Prof. Dr. Sr Kherun Nita Ali dan Dr. Aimi Sara Ismail dari Fakulti Alam Bina dan Ukur, Universiti Teknologi Malaysia. Sebelum itu, pihak Akademi Perkhidmatan Tadbir Negeri Johor, Encik Muhammad Syafiq bin Mohamad Daud telah menyampaikan ucapan aluan dan diikuti Prof. Madya Sr Dr. Abdullah Hisam bin Omar, Pengarah Eksekutif Institut Sultan Iskandar kepada para peserta.
Para peserta program ini juga akan meneruskan program latihan dalam penggunaan perisian AutoCAD. Peserta berpeluang menambah kemahiran dan latihan semula penggunaan perisian AutoCAD berdasarkan pilihan masing-masing iaitu AutoCAD Essentials yang akan berlangsung pada sesi pertama 10, 11 & 12 Jun 2024 dan sesi kedua pada 24,25 & 26 Jun 2024. Manakala AutoCAD Advanced pula akan diadakan pada 18 & 19 Jun 2024.
Di akhir program latihan ini, setiap peserta akan menerima Certificate of Completion dari pihak Autodesk bagi mengiktiraf latihan yang telah mereka jalani.
Diharapkan dengan program ini, para peserta penjawat awam negeri Johor dapat menambah kemahiran, meningkatkan profesionalisme dan kompetensi dalam bidang pekerjaan masing-masing.